Thursday 1 May 2014

Himpunan 501 Suhakam puji

Dipetik daripada Harakah Daily.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memuji pengendalian aman bagi himpunan anti-GST di sekitar jalan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada hari ini. 

“Suruhanjaya melihat perkara ini sebagai satu hasil positif daripada kerjasama baik di kalangan penganjur perhimpunan, peserta dan pihak berkuasa,” ujar Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataan kepada Harakahdaily, malam ini.

Katanya, Suhakam turut memuji pihak polis dan penganjur atas hubungan kerjasama positif mereka menerusi satu siri dialog yang telah diadakan sebelum perhimpunan yang membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak dalam beberapa aspek utama yang berkaitan dengan perhimpunan, terutamanya persetujuan polis untuk penganjur menggunakan jalan raya berhampiran Dataran Merdeka walaupun dataran tersebut ditutup untuk kerja naik taraf.

Beliau menambah, Suhakam berbesar hati memerhatikan bahawa tiada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) digunakan semasa perhimpunan tersebut dan jalan-jalan utama dan stesen pengangkutan awam juga tidak ditutup. 

Pihak polis, dengan bantuan marshal penganjur, telah berjaya memudahcarakan kawalan lalu lintas dan pergerakan orang ramai sepajang perhimpunan tersebut bagi memastikan peserta perhimpunan boleh bergerak dari semua lokasi tanpa banyak kesulitan.

“Suruhanjaya juga berbesar hati dengan pembaharuan positif dalam profesionalisme pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam mengendalikan perhimpunan awam seperti yang ditunjukkan menerusi KL112 dan perhimpunan anti-kenaikan harga serta perhimpunan hari ini,” ujarnya lagi. 

Demikian juga, ujar beliau Suhakam memuji penganjur dan peserta atas hubungan kerjasama positif mereka dengan pihak berkuasa.

“Suruhanjaya mengalu-alukan kerjasama berterusan, persefahaman dan rasa hormat dalam perhimpunan aman masa depan ke arah memastikan hak asasi rakyat untuk kebebasan berhimpun dapat dipelihara sepenuhnya pada setiap masa,” kata beliau lagi. - HARAKAHDAILY 1/5/2014

No comments:

Post a Comment