Sunday, 8 June 2014

121 Jemaah Umrah Malaysia terkandas di Madinah dibawa pulang

Hai, apa nak jadi dengan dunia sekarang. Bagaimana sebuah syarikat yang menguruskan jemaah umrah ke tanah suci boleh meninggalkan jemaahnya. Hakikatnya terdapat unsur-unsur penipuan atau urusniaga yang tidak jelas. Inilah jadinya sekiranya ingin mengaut keuntungan atas nama agama.

Berita ini dipetik daripada Astro Awani.

GEORGE TOWN: Sejumlah 121 jemaah Malaysia yang terkandas di Madinah sejak tujuh hari lepas setelah menunaikan umrah akan dibawa pulang menerusi penerbangan dari Jeddah malam esok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin ini.Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata selepas mendapat maklumat lengkap pihaknya dengan kerjasama Konsulat Jeneral di Makkah telah menguruskan pembelian tiket penerbangan semua jemaah yang terkandas itu menerusi syarikat penerbangan Flynas.

Beliau berkata biro itu mendapat maklumat daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Makkah memaklumkan 268 jemaah dari Malaysia yang menunaikan umrah pada 21 Mei menerusi sebuah agensi pelancongan tempatan dan sepatutnya pulang 1 Jun lepas terkandas.

"Bagaimanapun sehingga semalam, masih terdapat 121 orang yang kebanyakannya dari Perak dan Pulau Pinang masih terkandas, 10 orang telah pulang pada 4 Jun lepas, manakala 137 orang berlepas dari Jeddah semalam dan tiba di KLIA2 pukul 10 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati agensi yang membawa jemaah berkenaan dengan menawarkan pakej umrah berharga RM3,999 hanya membeli tiket penerbangan pergi tanpa menempah tiket untuk penerbangan pulang.

Beliau telah menghubungi wakil syarikat dan pejabat agensi pelancongan berkenaan bagaimanapun tidak berjawab.

"Agensi yang berpejabat di Perak itu tidak menempah tiket pulang dan wakilnya yang bersama jemaah di Makkah telah pulang lebih awal serta meninggalkan mereka di sana tanpa sebarang maklumat.

"Saya juga difahamkan ada jemaah yang terkandas itu sakit, ada yang dibuang kerja kerana telah tujuh hari mereka tidak balik, ini satu perkara yang menyedihkan," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji menasihati orang ramai yang ingin menunaikan umrah supaya menyemak terlebih dahulu agensi pelancongan sama ada ia berdaftar dengan Tabung Haji atau tidak.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan agensi yang menawarkan pakej murah yang harganya di bawah RM4,000.

No comments:

Post a Comment