Sunday 8 June 2014

Isu Panas: Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014

Rang undang-undang perumahan kontroversi negeri Johor akan dipinda untuk mengubah keputusan awal dengan memberi kuasa penuh kepada Sultan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

 Khaled berkata, peruntukan tersebut akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 di mana Sultan akan membuat keputusan atas nasihat menteri besar, lapor The Star Online.

Laporan awal mendedahkan ia akan memberi kuasa penuh kepada Sultan untuk melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, memantau akaunnya dan juga membubarkan lembaga itu. Malah turut difahamkan, Sultan Johor juga boleh menentukan ganjaran ahli lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan meluluskan anggaran belanja setiap tahun berikut sebelum mendapatkan kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu membidas campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan menyifatkannya mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan negara sejak merdeka.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud antara istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam pentadbiran.‎

Aziz berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan dalam DUN berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor jika ia diteruskan.

Kritikan turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mendakwa Khaled akan terpaksa mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang itu diluluskan.

Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.

No comments:

Post a Comment